Imam Ahmad Al-Hassan, Al-Yamani dari Aali Muhammad (a.s), tampil menyeru manusia untuk kembali menyerahkan diri kepada Allah Yang Maha Esa dan kembali kepada Jalan Lurus yang satu, jalan yang membawa kepada Allah SWT; dan beliau melakukannya dengan membawa wasiat Nabi Muhammad SAW bahawa dirinya Ahmad adalah orang yang namanya disebut di dalamnya.
Pandangan Sunni dan Syiah tentang wasiat Nabi Muhammad
Mazhab-mazhab di dalam Islam berbeza pandangan mengenai apa yang Nabi Muhammad SAW tinggalkan sebagai wasiat atau perintah terakhir.
Sunni tidak percaya bahawa Nabi Muhammad SAW meninggalkan wasiat bertulis, mereka lebih percaya kepada “Hadis Al-Quran dan Sunnah”:
“Aku tinggalkan di kalangan kamu dua perkara yang dengan berpegang teguh padanya, kamu tidak akan terpesong: Kitab Allah dan Sunnahku; dan kamu tidak akan tersesat”. Tetapi kita perlu tahu bahawa versi ini tidak terdapat di dalam mana-mana Kutub As-Sittah (enam kitab hadis sahih) mereka.
Apa yang diketahui di kalangan Sunni mengenai wasiat bertulis Nabi Muhammad adalah “Tragedi Khamis” yang menyatakan Rasulullah SAW cuba menulis wasiat, tetapi dihalang dari melakukannya akibat tindakan salah Umar Ibn Al-Khattab.
Syiah percaya Rasulullah SAW telah melantik 12 Imam (a.s) sebagai para khalifahnya selepas kematiannya, bermula dengan Ali Ibn Abi Talib (a.s). Mereka tahu Nabi telah menjelaskan urusan kekhalifahan ini di dalam Khutbah Perpisahan beliau di Bukit Arafat di Ghadir Khumm (serta tempat-tempat lain) di mana beliau telah melantik Ali (a.s) dan mengucapkan “Hadis tentang dua Perkara Penting” (Hadis Al-Thaqalain) yang mahsyur:
“Aku tinggalkan di kalangan kamu dua perkara penting: yang pertama adalah Kitab Allah yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya, maka berpegang teguhlah kepada Kitab Allah; dan patuhilah ia”. Baginda menyeru (kita untuk berpegang teguh) kepada Kitab Allah dan kemudian berkata: “Yang kedua adalah ahli keluargaku, aku ingatkan kamu (kewajiban kamu) kepada ahli-ahli keluargaku”.
Nota: Versi ini terdapat di dalam kitab-kitab sahih Sunni, manakala versi “Al-Quran dan Sunnah” sebenarnya tidak ada.
Lebih jauh Syiah tahu bahawa Nabi Muhammad berjaya meninggalkan wasiat bertulis dan riwayat berikut terkenal di kalangan mereka:
Bapaku, semoga Allah merahmatinya, meriwayatkan kepada kami, katanya: Saad Ibn Abdullah meriwayatkan kepada kami, katanya: Muhammad Ibn Al-Hussain Ibn Al-Khattab meriwayatkan kepada kami dari Al-Hassan Ibn Mahbub dari Abil Jarud dari [Imam] Abu Jaafar (Al-Baqir, (a.s)) dari Jabir Ibn Abdullah Al-Ansari yang berkata: “Ketika aku pergi bertemu Fatimah, aku melihatnya bersama lembaran di mana nama-nama (Al-Awsiya’) para wasi bagi wasiat tersebut tertulis. Aku kemudiannya menghitung mereka ada dua belas. Nama terakhir adalah Al-Qaim. Tiga nama mereka adalah Muhammad dan tiga nama lagi adalah Ali”.-(Al-Khisal Saduq,ms.477)
Tetapi satu wasiat Nabi lagi yang telah diriwayatkan namun terpendam tanpa disedari selama ratusan tahun ada di dalam kitab-kitab hadis Syiah. Dan ia menjadi satu keajaiban Al-Yamani setelah beliau muncul lalu menunjukkan wasiat tersebut yang telah diabaikan oleh manusia selama ratusan tahun, walaupun ada di dalam riwayat-riwayat yang sahih.
Pada malam kewafatannya sebelum meninggal dunia, Rasulullah SAW memberitahu kita tentang Imam Ahmad (a.s), sebagai yang pertama dari 12 Mahdi yang akan datang selepas 12 Imam, di dalam wasiat terakhirnya.
Kewajiban atas setiap muslim untuk membuat wasiat
Menurut Al-Quran dan riwayat-riwayat dari Ahlulbait (a.s) menjadi kewajiban atas setiap Muslim untuk meninggalkan wasiat.
{Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu bahawa apabila kematian datang kepada salah seorang dari kamu -jika dia meninggalkan banyak harta- maka dia perlu membuat wasiat untuk ibu bapa dan kerabat terdekat secara ma’aruf. Ini adalah kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa}.-(Al-Quran 2: 180)
Di dalam ayat yang terakhir kita dapat melihat bahawa Allah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin untuk menulis wasiat apabila mereka merasakan kematian mereka sudah dekat. Maka adakah pemimpin bagi semua mukmin iaitu Nabi Muhammad SAW melupakan wasiat?. Atau beliau gagal melaksanakan perintah terakhir dari Allah SWT ini?
Muhammad Ibn Faisal melaporkan dari Abi Alsabh bahawa dia bertanya Abi Abdullah (a.s) mengenai wasiat, lalu Imam (a.s) menjawab: “Ia adalah satu tanggungjawab penting atas setiap Muslim”.-(Man la Yazadul Faqih, Jilid 4, ms.181)
Dan Muhammad Ibn Abi Yumar melaporkan dari Hamad Ibn Uthman yang mendengar dari Abu Abdullah (a.s): “Allah SWT merahmati hambaNya SWT sebelum kematiannya dengan memulihkan penglihatan, pendengaran dan fikiran hambaNya supaya dia boleh membuat wasiat. Bagaimanapun, ia bergantung kepadanya untuk meninggalkan wasiat atau tidak, tetapi ia adalah kelapangan yang diberikan kepadanya sebelum mati. Ini adalah tanggungjawab atas setiap Muslim”.-(Man la Yazahul Faqih, Jilid 4, ms.180)
Abi Naim meriwayatkan dari Abi Hamzah yang mendengar dari Imam Muhammad Baqir (a.s): “Allah SWT berfirman: {[Wahai] anak-anak Adam Aku merahmati kamu dengan tiga:
1) Aku telah menyembunyikan dosa-dosamu dari keluargamu, kerana jika mereka mengetahui tentang dosa-dosamu, mereka tidak akan (mempedulikan untuk) mengebumikan kamu.
2) Aku memberikan kamu kekayaan dan meminta pinjaman darimu (untuk memberi orang miskin) tetapi kamu tidak memberinya atas alasan yang munasabah.
3) Sebelum kematianmu Aku kembalikan deriamu, supaya kamu boleh meninggalkan wasiat atas alasan yang wajar mengenai kekayaan tetapi kamu tidak mempedulikannya}”.-(Al-Khisal, Jilid 1, ms.136)
Oleh itu, jika Ahlulbait (a.s) menyatakan bahawa membuat wasiat memang ‘tanggungjawab atas setiap Muslim’, bagaimana mungkin terjadi makhluk terbaik Allah SWT yang mendahului semua yang lain di dalam ketaatan, ibadah, keikhlasan, kemuliaan dan amal, boleh gagal untuk melakukannya?
Sesungguhnya Rasulullah Muhamamd SAW tidak menyalahi ayat-ayat Al-Quran yang muhkam (nyata). Dan menafikannya seperti mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bertindak bertentangan dengan Al-Quran dan jauh sekali beliau dari perkara itu.
Tambahan pula terdapat banyak riwayat yang menyokong fakta bahawa Nabi Muhammad SAW sesungguhnya berjaya -dengan izin Allah SWT- membuat wasiat. Walaupun permintaannya untuk menulis wasiatnya pada mulanya dihalang oleh sebilangan sahabatnya, namun, beliau telah diberikan kejayaan untuk menyempurnakan Kehendak Allah SWT ini.
Nabi Muhammad menulis wasiat di kasur kematiannya
Insiden ini telah dicatatkan dengan rapi oleh kedua-dua sumber Syiah dan Sunni.
Diriwayatkan dari Ibrahim Ibn Musa, dari Hisyam, dari Muamar, dari Abdullah Ibn Muhammad, dari Abdulrazak, dari Muamar, dari Al-Zahri, dari Ubaidullah Ibn Abdullah, dari Ibn Abbas (semoga Allah meredhai mereka), yang berkata:
Ketika Rasulullah berada di atas kasur kematiannya terdapat beberapa orang di dalam rumah dan di antaranya adalah Umar Ibn Al-Khattab, maka Nabi berkata, “Ke mari, biar aku tuliskan untuk kamu satu kenyataan yang selepas ini kamu tidak akan tersesat”. Umar berkata, “Nabi sedang meracau, kita mempunyai Kitab Allah, ia sudah cukup untuk kita”. Orang-orang yang berada di dalam rumah berselisih dan bertengkar. Sebahagian berkata, “Pergilah kepadanya agar Nabi dapat menuliskan untuk kamu satu kenyataan yang selepas ini kamu tidak akan tersesat”, sementara yang lain berkata sama seperti apa yang Umar katakan. Apabila mereka menimbulkan perselisihan dan berteriak di hadapan Nabi, Rasulullah berkata, “Pergi!” Ubaidullah meriwayatkan bahawa Ibn Abbas berkata, “Adalah amat malang bahawa Rasulullah telah dihalang dari menulis kenyataan tersebut untuk mereka disebabkan perselisihan; dan riuh rendah mereka”.-(Al-Bukhari, Jilid 7, Bab 70, Riwayat No.573)
Versi lain adalah…
Ibn Abbas berkata: Khamis dan betapa hari Khamis itu!. Sakit Nabi menjadi semakin berat dan beliau berkata, “Ke mari, aku akan menulis satu kenyataan yang akan menghalang kamu dari tersesat dari jalan yang benar”. Tetapi Umar berkata Rasulullah sedang dirasuk kesakitan dan mereka mempunyai Al-Quran, itu sudah mencukupi sebagai Kitab Allah. Orang-orang di dalam rumah kemudiannya berselisih dan bertengkar sesama sendiri, sebahagian dari mereka setuju dengan apa yang Rasulullah katakan, sementara yang lain menyokong pendapat Umar. Apabila perdebatan menjadi panas dan riuh rendah menjadi semakin kuat, Rasulallah berkata kepada mereka, “Tinggalkan aku sendiri”. Ibn Abbas berkata: “Bencana yang menimpa adalah pertelingkahan di kalangan sahabat yang menghalang Rasulullah dari menulis kenyataan tersebut untuk mereka”.-(Sahih, Muslim, Akhir Kitab Al-Wasiyyah, Jilid 5 ms.75; Musnad Ahmad, Jilid 1, ms 335; Jilid 5,ms.116; Tarikh At-Tabari, Jilid 3, ms.193; Tarikh Ibn Al-Athir, Jilid 2, ms.320)
Bagaimanapun kisah ini bersambung di dalam kitab-kitab Syiah, apabila Nabi SAW memanggil Imam Ali (a.s) dan sekumpulan kecil mukminin kembali ke kasur kewafatan beliau.
Dan di sini sedikit daripada banyak riwayat yang mengesahkan fakta bahawa Nabi Muhammad SAW memang meninggalkan wasiat.
Diriwayatkan dari Muhammad Ibn Muslim yang mendengar dari Imam Abu Jaafar (a.s): “Wasiat adalah satu kewajipan dan Rasulullah SAW juga telah meninggalkan wasiat, menjadi satu kewajiban atas semua umat Islam untuk melakukan yang sama”.-(Man la Yazahul Faqih, Jilid 4, ms.181)
Riwayat Sunni: “Rasulullah SAW menulis sebuah buku yang menyebut para khalifah selepasnya, mereka dberi autoriti dan kemudian beliau memeterainya”.-(Perawi: Muslim Ibn Harith Al-Tamimi, Al-Muhadith: Al-Haithami, Sumber: Majma Al-Zawa‘id 8/102, Penilaian Muhadis: Para perawinya boleh dipercayai)
Dan di dalam Hadis nombor 11 dari Kitab Sulaim Ibn Qais Al-Hilali, kita dapati Imam Ali (a.s) berkata:
“Wahai Talhah, adakah kamu hadir ketika Nabi SAW meminta kertas supaya beliau boleh menulis apa yang umat ini tidak akan tersesat dan bercanggah?. Pada masa itu sahabat kamu berkata apa yang telah dia katakan – (iaitu Rasulullah sedang meracau). Pada masa itu Rasulullah SAW menjadi sangat marah dan meninggalkannya”.
Talhah berkata: “Ya, aku hadir pada masa itu”.
Ali (a.s) berkata: “Apabila kamu semua pulang, Rasulullah SAW memberitahuku semua ini dan juga memberitahuku apa yang beliau ingin tuliskan; dan beliau mahu orang ramai untuk menjadi saksi kepadanya. Pada masa itu Malakat Jibral memberitahunya bahawa Allah Azza Wa Jalla tahu penentangan dan perpecahan ke atas umat ini. Kemudian beliau meminta kertas dan menyuruh aku menulis apa yang beliau ingin tuliskan; dan membuat tiga orang menyaksikannya – Salman, Abu Dhar dan Miqdad; dan beliau memberitahu nama-nama para Imam yang memberi petunjuk, yang Allah telah perintahkan ketaatan hingga hari kiamat …”.
Oleh itu, jelas bahawa Nabi Muhammad SAW memang meninggalkan wasiat.
Wasiat Nabi Muhammad
Wasiat Nabi Muhammad SAW pada Malam Kewafatannya
Wasiat tersebut menyebut…(sila rujuk terjemahan wasiat tersebut)
Wasiat Nabi Suci Muhammad SAW ini telah disebut di dalam rujukan, antaranya oleh Syeikh Al-Tusi, Ghaibah At-Tusi, ms. 150.
Syeikh Al-Tusi, yang dikenali sebagai ‘Bapa Syiah’ dan orang yang membuka Hauzah pertama di Najaf, Iraq, menulis di dalam bukunya “Ghaibah Al-Tusi” mengenai pendapatnya tentang kesahihan wasiat Nabi Suci SAW:
“Kami katakan: ‘Dan apa yang membawa kepada kesahihannya, Syiah Imamiah melihatnya berada pada jalan tawatir (tahap kepastian mutlak) tanpa digugat hal-hal lain dan cara ia menjadi sahih ada di dalam kitab-kitab Imamiah’…”.
Dan wasiat ini telah diiktiraf dan diterima oleh mazhab Syiah Dua Belas (Syiah Marji’), yang meriwayatkannya melalui mazhab mereka beserta dengan penyebutan 12 Mahdi dan yang pertama dari mereka ini adalah Ahmad.
Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai para perawi wasiat Nabi Muhammad SAW dan kredibiliti mereka.
Kesimpulan
Kita harus sedar besarnya kepentingan mengemukakan wasiat ini…
Peristiwa Nabi Muhammad SAW mengumumkan di atas kasur kematiannya bahawa beliau akan menulis wasiat tercatat di dalam dua kitab “Sahih” Sunni mengenai hadis “Tragedi Khamis” dilihat seolah-olah tiada kesinambungan. Tetapi fakta kesinambungannya ada di dalam kitab-kitab Syiah, beserta wasiat itu sendiri.
Ia satu-satunya wasiat yang dicatatkan dari Nabi Muhammad SAW dengan lengkap.
Rasulullah SAW menjanjikan bahawa dokumen ini sebagai perlindungan bagi orang-orang yang mengikutnya.
Dan ia telah tersembunyi di hadapan mata selama berabad-abad, menunggu pewaris sebenarnya untuk menuntutnya.
Wasiat Nabi Muhammad SAW ini adalah satu misteri dan petunjuk itu sendiri – penyelesaian bagi sebuah teka-teki. Ia bukan semata-mata seorang lelaki datang dan menyebutnya.
Imam Ahmad Al-Hassan (a.s) adalah orang pertama yang bangkit dan mendakwa beliau adalah orang yang disebutkan di dalam wasiat Rasulullah SAW ini.
Oleh itu tindakan Imam Ahmad Al-Hassan (a.s) yang menuntut wasiat ini sudah pasti terpelihara dari kesesatan seperti mana yang dijanjikan oleh Nabi Suci SAW.

No comments:
Post a Comment